Perkarangan dewan semakin padat dengan kehadiran rakan-rakan untuk mengambil keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Ada yang datang bersama-sama ibu bapa. Ada yang datang bersama-sama kakak dan abang. Ada yang datang sendirian dan ada yang datang bersama-sama teman. Meskipun kehadiran mereka bersama insan yang berbeza-beza tetapi masing-masing membawa perasaan yang sama. Rasa yang kian mendebarkan.
Sebahagian pelajar telah mengambil keputusan dan mengetahui hasil titik keringat mereka selama ini. Tangis dan tawa semakin memenuhi segenap ruang di dalam dewan. Biarpun ada yang bergembira dan berdukacita, sekurang-kurangnya debar yang mereka rasai telah sirna. Bagaimanakah pula dengan diriku? Hatiku dan mindaku masih diasak dengan satu persoalan yang masih belum terjawab. Apakah aku akan mencapai kejayaan?
Aku dan teman-temanku masih menanti. Menanti kemunculan Taufiq yang masih belum nampak batang hidung. Kami berjanji untuk mengambil keputusan bersama-sama. Hubungan akrab yang telah terjalin lebih lima tahun membuatkan kami mahu mengharungi saat-saat penuh debar ini bersama-sama.
Sufiyan menghubungi Taufiq. Dia tidak bisa tunggu lama.
" Hello, kau ada kat mana ni? Boleh cepat sikit tak? Kami dah macam tunggul batu, kau tau tak? Dah berlumut kami tunggu kau kat sini," ujar Sufiyan dengan nada tegas. Wafi dan Ammar saling berpandangan.
Selepas menelefon Taufiq, Sufiyan datang ke arah kami. " Taufiq dah nak sampai sini," katanya.
Tanganku terasa sejuk. Jantungku semakin laju. Masa sudah semakin tiba. Tiba-tiba terpacul dari mulutku satu kalimah agung. "Ya Allah".
Sufiyan, Ammar dan Wafi mengelih pandangan ke arahku.
Wafi bertanya," Kenapa? Kau takut ke?" Dia datang terhinjut-hinjut ke arahku dan duduk di sampingku. "Kau tawakal banyak-banyak. Aku tau kau dah banyak berusaha. Insya-Allah keputusan kau baik." Ammar mencelah," Bukan setakat baik, tapi cemerlang. Kita semua akan dapat keputusan yang cemerlang. Kita dah usaha. Insya-Allah kejayaan akan jadi milik kita semua." Bicara Ammar penuh yakin.
Beberapa saat kemudian, Taufiq muncul di depan pintu dewan. Dia berlari-lari anak menuju ke arah kami. " Assalamualaikum. Minta maaf sangat-sangat. Aku terlewat sikit," kata Taufiq sambil sempat menarik nafasnya untuk menghirup udara. Sufiyan yang agak gusar lantas berkata," Banyaklah kau punya sikit. Kau tengok si Wafi ni. Walaupun kaki dia tempang tapi tak ada alasan untuk datang lambat." Terlepas kemarahan Sufiyan yang terbuku sejak tadi. Wafi tertunduk. Mungkin hatinya sedikit terkesan.
" Sudahlah. Kami maafkan kau. Lagipun kami dah cukup masak dengan sikap kau tu." Ammar cepat-cepat mencelah. Bimbang keadaan akan menjadi lebih tegang. Sudah menjadi kelaziman tatkala Taufiq dan Sufiyan bertemu empat mata pasti ada sahaja yang akan membuatkan salah seorang berasa marah yang akhirnya membawa kepada pertengkaran kecil. Meskipun begitu, cepat api marak, cepat juga api padam.
Kini semuanya telah berkumpul. Sudah tiba masa untuk kami mengambil keputusan STPM. Kaki kami mula melangkah.
Belum sempat kami sampai ke meja Puan Salwani, langkah Sufiyan terhenti." Nanti."
.....bersambung.....
Kami semua menoleh ke belakang. Jelas terpancar pada wajah Sufiyan bahawa hatinya tidak tenang. Aku cukup memahami perasaannya kini. Keputusan peperiksaan yang bakal kami ketahui sebentar nanti amatlah kami takuti. Pernah kami tidak berjaya menjejakkan kaki ke universiti setelah mengambil keputusan SPM pada dua tahun yang lalu. Semangat mahu ke puncak menara gading menggelegak, namun keinginan itu tidak seiring dengan usaha yang gigih. Kami kecundang. Sikap malas dan tidak serius serta hilang fokus dalam pembelajaran membuatkan kami tewas. Tetapi tidak bererti kami gagal buat selama-lamanya. Kami percaya peluang sentiasa terbuka. Lantaran itu, kami membentang luas medan perjuangan kedua bagi menyambung semula azam kami untuk mencapai cita-cita yang pernah padam. STPM. Perjuangan kedua yang kami tempuh dengan penuh ranjau, onak, dan liku akhirnya kini tiba di kemuncaknya. Kami takut. Apakah yang akan kami perolehi? Kejayaan atau kegagalan? Sememangnya kami tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Sufiyan memandang tepat ke arah kami. Kakinya berundur beberapa langkah sebelum dia berpatah menuju ke tempat perkumpulan kami. Aku bergegas ke arahnya. " Kenapa Sufiyan?" aku bertanya. Sufiyan melabuhkan punggungnya di lantai. Tanpa segan silu dia duduk bersila dan dilihat oleh orang ramai. Sambil menutup mukanya dengan kedua-dua telapak tangannya, Sufiyan berkata," Syabil, aku takut. Aku takut untuk berhadapan dengan kenyataan ni." Aku lantas menjawab," Kita semua akan berhadapan dengan kenyataan. Aku sendiri pun gementar tadi. Tapi aku berani terima kenyataan. Kau tak bersendiri, Sufiyan. Kau ada kami semua. Kita sama-sama berhadapan dengan kenyataan." Sufiyan memandang tepat ke mataku dan berkata lagi," Aku takut untuk terima kenyataan bahawa aku gagal. Aku ni bodoh. Selalu dapat nombor terakhir dalam kelas. Aku tak cukup berusaha. Aku tak gigih macam korang. Dan aku akan bersendirian." Sufiyan tidak yakin dengan diri sendiri. Dia tidak menyedari meskipun seseorang itu tidak dikurniakan kebijaksanaan akal fikiran tetapi usaha yang gigih dapat menutup kelemahan tersebut.
Wafi menghampiri Sufiyan lalu berkata," Tak baik cakap macam tu. Macam mana kau tahu kau akan gagal sedangkan kau belum tengok lagi keputusan kau? Kau kena yakin, Sufiyan." Wafi memegang bahu Sufiyan dan cuba menenangkannya. Ammar menambah, " Betul tu. Kau jangan takut. Kalau kau takut, aku pun takut juga." Ammar ketawa mengekek lalu duduk di sebelah Sufiyan. Ammar berkata lagi, " Kalau kau tak nak ambil result lagi, aku pun tak nak lah. Korang bertiga pergilah ambil dulu. Kita orang tunggu kat sini." Aku, Wafi, dan Taufiq saling berpandangan antara satu sama lain. Kami bertiga mengambil keputusan untuk duduk bersama-sama. Banyak mata memandang ke arah kami tetapi kami tidak mempedulikannya.
Ruang dewan yang tadinya dikerumuni banyak orang kini kian berkurangan. Ada pelajar yang masih tinggal dan ada juga yang telah pulang. Yang tinggal sedang berkongsi kegembiraan bersama-sama teman dan mengucapkan penghargaan kepada guru-guru yang telah banyak berjasa kepada mereka. Bagi pelajar yang sudah pulang, adakah disebabkan kesuntukan masa ataupun disebabkan keputusan mereka yang kurang cemerlang? Rasa gemuruh masih lagi menyelubungi diri kami.
Kami masih lagi duduk dan tidak membuat sebarang tindakan. Sesekali aku terpandang Taufiq sedang membalas mesej yang diterima melalui telefon bimbitnya. Wafi dan Ammar pula sedang asyik berkongsi cerita tentang aktiviti seharian semenjak tamat persekolahan tiga bulan yang lalu. Kadang-kala tercuit hatiku melihat gelagat Ammar yang sering berjenaka. Tidak hairanlah banyak orang yang menyenangi dirinya. Sufiyan pula masih terdiam dan berada dalam posisi yang sama sejak tadi. Sedikitpun dia tidak berganjak. Walau bagaimanapun, rautnya kini tampak kembali tenang.
Tiba-tiba terdengar suara garau yang menyapa kami dari arah belakang. "Assalamualaikum." Kami menoleh sambil menjawab salam yang diberikan. Kelihatan sekujur tubuh sedang berdiri sambil tersenyum. Wafi dengan pantas menyapa. "Cikgu Nasir."
Kami segera bangkit dari lantai dan berjabat tangan dengannya. Cikgu Nasir merupakan guru kaunseling yang sangat rapat dengan kami. Kehadirannya sangat tepat pada waktunya. Tatkala kami hilang semangat, dia tampil mengukuhkan jati diri kami.
Cikgu Nasir bertanya," Dah ambil keputusan ke belum? Macam mana?" Kami masing-masing menggeleng kepala. Cikgu Nasir bertanya lagi," Belum? Habis tu, awak semua buat apa lagi kat sini?" Aku melihat sekilas pada wajah Sufiyan lalu menjawab," Kami belum bersedia nak berhadapan dengan kenyataan." Cikgu Nasir menguntum senyum. Taufiq menyampuk, " Mereka saja yang tak bersedia. Saya dah bersedia." Kami memandang tepat ke arah Taufiq. Kadang-kadang apa yang diucapkan oleh bibirnya sangat menyakitkan hati. Dia seolah-olah tidak memahami situasi. Cikgu Nasir bertanya kepada Taufiq," Macam mana keputusan awak?" Taufiq menjawab," Saya tak ambil lagi. Saya dah janji nak ambil sama-sama dengan mereka ni." Biarpun Taufiq adakalanya membuat hati orang terkesan tapi apabila disedarinya, pandai pula dia mengambil hati. Sebab itulah hubungan antara kami dengannya tetap kukuh sehingga hari ini.
Cikgu Nasir yang segak berkemeja ungu muda dan berkaca mata tersenyum melihat kerenah anak-anak muridnya ini. Masing-masing sudah dewasa tetapi masih ragu-ragu untuk berhadapan dengan kenyataan. " Kenapa kamu tak bersedia pula? Tak kira lah lambat atau cepat, nanti kamu akan tahu juga keputusan kamu kan." Kami hanya terdiam. Cikgu Nasir menyambung lagi. " Kamu semua kena yakin dan kuat untuk melalui hari ini. Kamu sendiri yang cakap dengan saya dulu yang kamu boleh jawab peperiksaan STPM. Sebab kamu dah gigih berusaha. Jadi sekarang ni, setelah usaha dibuat, setelah puas bertawakal, kamu semua kena menghadapi realitinya." Cikgu Nasir berhenti sejenak. Dia menatap wajah-wajah anak muridnya satu-persatu. Dia menyambung bicara lagi. " Kamu semua ingat tak lagi analogi yang pernah saya beritahu pada kamu tahun lepas?" Kami memerhati tepat pada raut Cikgu Nasir yang sedikit berkumis. Lalu aku bertanya," Analogi?" Cikgu Nasir mengangguk. Sufiyan menyusul bertanya. " Tentang apa?" Kami semua tertanya-tanya dan mencuba untuk mengembalikan ingatan masa lalu. " Tentang bola," ujar Cikgu Nasir selamba. Lantas kami semua berkata serentak. " Bola?"
.....bersambung.....
No comments:
Post a Comment