Atas sebab kemiskinan, Bahri dan Siti Jannah menyerahkan Siti Humaira, anak sulung mereka kepada keluarga Shamsul Badli dan Fazrina. Pada masa yang sama, Shamsul dan Fazrina sememangnya ingin mempunyai seorang anak perempuan setelah mengetahui bahawa Fazrina tidak boleh mengandung buat kali yang seterusnya. Justeru, mereka menerima Siti Humaira sebagai anak perempuan mereka dan memanggilnya dengan nama Amira. Setiap sebulan, Bahri dan Siti Jannah akan melawat anak mereka di rumah Shamsul dan Fazrina. Walau bagaimanapun, mereka telah terputus hubungan dengan anaknya setelah keluarga Shamsul dan Fazrina berpindah ke Kuala Lumpur.
Meskipun tanpa diduga Fazrina telah mengandung dan melahirkan anak perempuan, namun kasih sayang yang telah dicurahkan kepada Amira membuatkan Shamsul dan Fazrina berasa sukar untuk memulangkan semula Amira kepada ibu bapa kandungnya. Oleh itu, Amira telah dewasa di samping Shamsul dan Fazrina serta adik beradik angkatnya iaitu Muhammad Syabil Anaqi dan Nur Syifa Adriana.
Amira cukup bertuah apabila memiliki kasih sayang, pendidikan yang tinggi, serta kemewahan daripada keluarga angkatnya. Biarpun begitu, adakah Amira merupakan insan yang cukup sempurna tatkala hatinya tidak dihiasi dengan iman dan akidah yang kukuh? Shamsul dan Fazrina sememangnya gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa yang baik apabila anak-anak mereka termasuklah Amira telah terpesong jauh dari landasan agama yang betul. Tetapi, adakah sudah terlewat untuk mereka berubah? Dan siapakah insan yang akan mengubah hidup mereka sekeluarga?
Sejak Amira menginjak usia remaja lagi dia telah jatuh hati kepada abang angkatnya, Syabil Anaqi. Apabila hal ini diketahui oleh Shamsul dan Fazrina, mereka telah berusaha untuk mengahwinkan Amira dengan lelaki lain. Amira membangkang kerana dia tidak mahu menjadi isteri kepada lelaki lain selain Syabil Anaqi. Keadaan semakin rumit apabila Shamsul dan Fazrina menyentuh tentang hak mereka untuk berbuat sedemikian. Mereka menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk Amira membalas segala jasa yang telah mereka lakukan, iaitu bersetuju untuk berkahwin dengan lelaki pilihan mereka.
Oleh sebab Shamsul dan Fazrina mengungkit tentang pengorbanan mereka kepada Amira selama ini di samping mempertahankan cintanya kepada Syabil Anaqi, Amira membuat keputusan untuk meninggalkan keluarga angkatnya. Hatinya yang memberontak dan bercelaru membuatkan hidupnya semakin tidak tenang. Pelbagai cara telah dilakukan untuk menghilangkan rasa tidak tenteram yang menyelubungi jiwa dan fikirannya. Sehingga pada akhirnya, Amira telah bertemu semula dengan keluarga kandungnya yang memiliki kehidupan serba sederhana namun dihiasi dengan amalan agama Islam yang cukup lengkap. Bapa kandungnya, Ustaz Bahri kini merupakan seorang guru agama yang telah banyak berjasa kepada orang kampung, manakala ibunya Siti Jannah pula setia menjadi seorang isteri dan ibu mithali dalam memburu kehidupan di syurga yang kekal abadi.
Setelah tinggal di samping keluarga kandungnya, Amira memperoleh kehidupan yang baru. Dia merasakan seolah-olah telah dilahirkan semula ke dunia apabila kedamaian dan ketenangan yang dicari selama ini berada dalam dakapannya. Ustaz Bahri dan Siti Jannah serta anak-anaknya yang lain berusaha sehabis baik untuk membentuk semula akidah Amira agar sentiasa tunduk pada agama suci Islam.
Sementara itu, keluarga Shamsul dan Fazrina semakin porak-peranda setelah pemergian Amira. Shamsul dan Fazrina yang terlalu menumpukan kepada kerjaya telah mengabaikan anak-anak mereka. Keadaan ini telah mewujudkan konflik antara mereka dengan anak-anak mereka, Syabil Anaqi dan Nur Syifa. Syabil Anaqi yang turut merasakan cintanya pada Amira, sering saja gagal dalam peperiksaan di kolej tatkala sering merindui Amira manakala Nur Syifa pula semakin terjerumus dalam kancah sosial yang tidak baik.
Menyedari akan kehidupan keluarga angkatnya yang semakin kritikal, Amira rasa terpanggil untuk membantu menyelamatkan keluarga angkatnya agar tidak terus terjerumus dlm melakukan dosa-dosa yang tidak diredhai Allah S.W.T. Jika benar menurut ibu bapa angkatnya sebelum ini bahawa Amira sangat terhutang budi kepada mereka, kini telah tiba masanya untuk Amira membalas semula jasa-jasa mereka. Amira kembali ke dalam keluarga angkatnya untuk memberi sinar baru. Adakah Amira mampu untuk membawa keluarga angkatnya keluar dari jalan hitam dan tunduk semula kepada Allah S.W.T? Bagaimana pula dengan perasaan cinta antara Amira dan Syabil Anaqi? Dapatkah mereka disatukan? Yang paling utama, adakah mereka semua mampu memiliki cinta dan kasih sayang daripada Allah S.W.T?
No comments:
Post a Comment